8.2.10

Ilusi

Ngarai (Canyon)?




Tidak. Sekadar lekukan kecil di permukaan bumi.

Jangan selalu percaya apa yang ada di depan mata kamu.

7.2.10

Alam

Demi Tuhan yang menjadikan seluruh alam.



Menciptakan alam ini untuk menjadi saksi kekuasaanNya.



Dan menciptakan manusia untuk menjadi khalifah di muka bumi ini.



Tidakkah kamu sedar wahai manusia, apa yang ada disekeliling kamu adalah anugerah yang tidak terhingga nilainya?

Jangan Berputus Asa, Idan

Dan siang tadi hingga lewat malam, aku membantu si dia berpindah. Lebih hampir dengan aku. Aku dalam keadaan kurang sihat, gagahkan juga untuk memberi pertolongan.


"Tiada orang lain lagi yang nak tolong."

Itu antara kata-katanya di SMS. Aku pasti datang. Kamu tahu, episod membeli jiwa ini amat mahal harganya, tambah-tambah dalam keadaan badan meruntun sakit. Aku diamkan saja sambil memunggah barang demi barang ke dalam lori dan keluar semula di rumah barunya.

Selesai, kami (aku, dia dan orang lain yang membantu termasuk pemandu lori yang amat peramah) pergi ke restoran untuk memulihkan tenaga yang hilang. Bila menu di sua, aku menolak. Aku sekadar mahu minum. Tekak terasa amat loya dan badan terasa amat berbisa. Mungkin kerana segala tenaga yang habis keluar.

"Abang tak mahu makan?" Dia bertanya.
"Tak. Sedang demam sebenarnya." Jawabku ringkas.

Kamu kalau sering melihat wajah-wajah manusia, pasti sedar bila raut wajah tiba-tiba berubah. Aku lihat begitu di wajahnya.

"Jangan risau. Nanti balik boleh rehat." Aku berikan keyakinan kepadanya.
"Abang jangan lupa makan ubat." Pintanya.

"Makanlah sup atau apa-apa yang panas, agar boleh reda sakit di badan"
"Tidak mengapa. Tekak amat loya. Minum sudah cukup."

Aku tahu dia risaukan keadaan aku. Dari ekor mata, dia meninjau-ninjau keadaan aku dari semasa ke semasa. Kerana aku tidak mahu membuat dia risau, aku ketawa dan aku ceria bersama rakan yang lain, bersama dia juga. Aku lupakan kesakitan untuk melihat sekurang-kurangnya dia gembira. Malam tadi malam dia gembira. Malam dia mula menduduki rumah barunya. Aku tidak mahu merosakkan suasana malamnya.

Balik dari sana, aku terasa amat letih dan berat. Perut memulas dan kepala berpusing.

Tetapi aku berasa amat gembira. Kamu tahu, harapan yang aku sangka pudar seminggu lalu, sebenarnya masih ada dan terbuka luas. Aku teringat teguran abang angkatnya ketika di dalam kereta tadi setelah dia mendengar apa yang berlaku. Abangnya mahu aku jangan berputus asa. Mahu aku tetap berusaha dan tunjukkan hati budi aku sebenarnya terhadap si dia.

"Sekeras-keras kerak nasi, lama-lama akan lembut juga kalau kita curahkan air, Dan."

Benar kata dia. Jangan berputus asa.

"Engkau kena selalu ambil berat terhadap dia. Telefon, tanya khabar. Jumpa, ajak berbual. Kirim SMS, beritahu perkara yang baik-baik untuk dia. Jangan berputus asa Dan. Dia seorang yang amat baik dan bertuah kalau dapat memilikinya."

Ya, Idan. Dua orang sudah beritahu perkara yang sama. Jangan jadi bebal untuk tidak menyedarinya lagi. JANGAN BERPUTUS ASA!

Kaca Jadi Permata, Seterusnya

Kemudian dia bertanyakan kisah hidup aku.


Lalu aku ceritakan apa yang telah berlaku seminggu lalu, di mana aku temui 'kegagalan' dalam memenangi hati seorang yang aku harapkan. Aku luahkan baris demi baris, ayat demi ayat yang terkisah di hari itu. Aku kemudian berkata,

"Tidak mengapalah. Mungkin bukan keizinanNya untuk aku memiliki gadis itu."

Aku teruskan lagi cerita, bagaimana 10 minit sebelum aku luahkan perasaan itu, aku pasti aku akan temui kegagalan. Aku sudah melihat apa yang berlaku. Cuma aku tetap luahkan hanya kerana kalau tidak aku lakukan sekarang, sampai bila-bila aku tidak akan lakukannya. Kemudian hari nanti, pasti penyesalan yang timbul.

Tiba-tiba sahabat (si ibu tunggal tadi) bersuara,

"Dia tidak berkata tidaklah, awak."

Aku terpaku, buntu.

"Dia cuma belum bersedia untuk laluinya lagi sekarang." Sambung sahabat lagi.

Benar. Itu hakikatnya. Dia masih belum mahu laluinya sekali lagi setelah apa yang masih baru terjadi terhadap dirinya.

Ah, bebalnya aku. Kenapa aku sebegitu cetek menafsirkan segala belum dan tunggu itu sebagai TIDAK? Sahabat pula kini menjadi penasihat dan memberikan kata-kata dorongan untuk aku. Aku terharu dan pada masa yang sama, teruja. Aku lihat pintu yang aku sangka tertutup tempohari, kembali terbuka (walaupun sebenarnya ia tidak pernah tertutup langsung).

"Awak perlu berusaha lebih bersungguh-sungguh. Jangan berputus asa. Saya pasti kalau dia dapat lihat isi hati awak nanti, dia akan terima awak." Nasihat sahabat.

"Saya perempuan, awak. Saya tahu hatinya. Takkan dengan tiba-tiba dia mahu berkata, YA." Sambungnya lagi.

"Sudah pasti dia tergamam dengan keadaan yang sedang dilaluinya ketika itu. Awak berterus terang begitu, sudah pasti dia terkejut."

Aku yakin, ketika itu aku terasa segala kenaifan aku mengenai hubungan antara manusia terserlah luas. Sahabat memberitahu jalan dan liku yang perlu aku tempuhi untuk memenangi hati si dia. Dia ulang apa yang aku ucapkan padanya setiap masa,

"Awak perlu bersabar."

Ya. Si dia tidak berkata TIDAK. Dia berkata, dia masih belum bersedia. Idan, kamu sungguh naif.

Kaca Jadi Permata

Jumaat tempohari, aku luangkan dari senja hingga lewat malam berbicara dengan seorang sahabat. Bicara kisah hidup; ujian dan cabarannya. Bahagia dan dukanya. Setiap kali dia mahu mengalirkan air mata apabila mengenangkan nasibnya, aku cuba tukar rentak perbualan. Aku tidak mahu dia bersedih, dikelilingi orang lain.


Aku bukakan kotak hidupnya supaya dia boleh melihat dengan lebih luas apa yang sedang berlaku di luar sana. Kadang-kadang, kita sekadar memberi ruang untuk dia keluar. Ruang sempit, cukup untuk sebias cahaya menembusinya. Namun apabila mereka sendiri yang mahu keluar dari kepompong hidup mereka, aku berasa amat gembira. Gembira kerana, disaat mereka berubah itu, aku berada di situ untuk menjadi saksi.

Begini, dia seorang ibu tunggal dengan dua orang anak berusia belasan tahun. Masih muda, di pertengahan 30an. Suatu ketika dahulu, dia pernah menyuarakan hasratnya untuk kembali mencari pasangan dan berkahwin. Mempunyai anak kecil. Hidup bahagia dengan suami tercinta. Aku ketika itu cuma mendoakan agar impian dia tercapai.

Lama kemudian, dia sebenarnya masih belum dapat melupakan kisah pahit bersama bekas suami yang sudah lebih 10 tahun terpisah dan kisah duka bersama bekas kekasih yang disangka dapat dijadikan pengganti. Maka, apa jua peluang yang datang di hadapannya, dia tolak dan buang ke tepi. Sukar untuk sesiapa pun menembusi tembok yang dibinanya. Bukan dibina hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk dua orang anaknya juga.

Cuma dengan aku, dia dapat luahkan masalah dan harapkan secebis dorongan. Sepanjang waktu, sering aku berkata, dia perlu tukar pemikirannya yang sedia ada. Dia perlu lebih banyak bersabar. Dia perlu lebih terbuka dan dia juga perlu lebih selesa dengan kehidupan. Jangan marahkan Tuhan atas ketidakadilan dunia. Oh, dia sering lakukan itu dahulu.

Aku juga sering mendengar darinya kisah usaha beberapa orang lelaki yang cuba memenangi hatinya. Namun, paling sering dia risaukan, penerimaan keluarga pihak lelaki. Apakah ibu bapa akan menerima apabila anak lelaki mereka mengkahwini seorang ibu tunggal? Realiti hidup sebenarnya amat memeritkan. Biar betapa Islam orang kita, apabila tiba di tempat itu, seorang ibu tunggal yang mahu berkahwin dengan seorang lelaki, maka dunia menjadi gelap dan jahil. Kalau mereka itu faham seluas lautan pun mengenai Islam, penerimaan mereka terhadap ibu tunggal pasti begitu sukar.

Melihat riak sedihnya, aku berkata, kalau ada manusia yang mahu menyayangi dia sepenuh hati, sanggup berkorban diri sendiri untuk dirinya dan ikhlas menerimanya, maka tidak perlu lagi dia memberi seribu alasan untuk tidak menerimanya. Aku harapkan akan ada manusia yang seikhlas itu untuk mengasihi dia.

Dia terdiam sejenak. Air mata di kelopak mata di sapu dengan jari. Dan kemudian dia berkata,

"Sebenarnya ada..."

Tetapi dek kerana rupa paras lelaki itu tidak mencapai citarasanya (kamu perlu tahu, di usia dia ini, dia seorang yang amat menawan), dia tidak bersedia untuk menerimanya. Tetapi kerana aku sudah membuka matanya dan kotak hidupnya, dia sudah boleh melihat dari sudut yang lain.

"Walaupun dia tiada paras rupa, namun kebaikannya itu sudah cukup banyak untuk memadam kekurangan." Katanya lagi.

Aku tersenyum. Mungkin dia sudah nampak realiti sebenar hidup ini.

"Anak-anak saya pun amat sukakan lelaki itu. Malah ada kalanya, mereka mendesak saya menerimanya"

Nah, hidup dia sebenarnya sudah menemui apa yang dicari selama ini. Tidak perlu biarkan peluang itu berlalu pergi.

Aku sendiri sedar, dia sebenarnya sukakan lelaki itu. Paras rupa hanyalah alasan, mainan kata-kata untuk menutup realiti sebenar. Apa yang paling ditakuti dia adalah, untuk melalui hari-hari dalam hidupnya seperti dahulu; punyai seorang suami. Dia takutkan kegagalan kembali berulang. Aku jelaskan, dia seorang jurujual yang amat dedikasi. Dia tidak pernah berputus asa dengan kerjanya. Maka, lakukan perkara yang sama dalam hati dan perasaannya. Jangan berputus asa dan berani menempuh cabaran. Kalau dia tidak lakukan sekarang, bila lagi? Dia sendiri berkata, dia takut peluang itu terlepas.

Kami terus berbual dan dia menceritakan segala yang lelaki itu buat untuk dirinya. Segala kebaikan dan pengorbanan, hanya untuk memenangi hati si wanita pujaan hatinya. Dia sanggup menghadapi penolakan demi penolakan. Jadi apa lagi yang perlu dibuktikannya? Tiada.

Lelaki itu cuma menunggu masa si dia berkata, ya.

Lama aku di kerusi dan berbual dengannya. Lebih lima jam. Setelah daripada itu, barulah dia tersenyum. Aku pasti dia sudah temui jawapan dalam hidupnya. Aku tumpang gembira.

  © frossonice v2.0 by frossonice 2009

Kembali ke ATAS