16.7.09

Sekejap

Kelantan, Lagi


Malam ini bergerak ke Kota Bharu, Kelantan. Aku bakal menjalankan tugas sebagai juruvideo dan jurukamera majlis persaraan. Aku cuma kata majlis persaraan walaupun ada program sukan jabatan yang akan turut berlangsung mulai esok. Aku tidak akan ambil peduli mengenai program sukan tersebut.

Puncanya kerana kami juruvideo dan jurukamera tidak dijemput untuk membuat liputan. Telah aku beritahu mereka sejak awal lagi bahawa kehadiran juruvideo dan jurukamera adalah perlu dan wajib disertakan sebagai urus setia program mereka. Mereka tidak peduli. Jadi, perlukah aku peduli?

Bukan aku berkira. Tapi untuk mengajar bahawa sesuatu perkara yang kamu hendak buat, buat betul-betul dan penuh teliti. Kamu perlu ingat bahawa program itu ada majlis perasmian dan ianya perlu dibuat liputan. Kalau kamu masih juga anggap ianya tidak relevan, beritahu kemudian bila post mortem nanti Bos tanya kamu kenapa tiada media (dalaman) yang membuat liputan.

Aku bukan mendesak kerana aku mahu pergi. Ada ramai lagi yang boleh jadi jurukamera dan juruvideo. Tapi memandangkan ianya aktiviti rasmi, perlu ada jemputan dan pelantikan. Baru "proper". Ini tidak. Aku pasti nanti mereka akan cakap,

"Alang-alang sudah cover majlis perasmian, coverlah sekali program sukan."

Semudah itu, ya?  Bila kita tidak mendapat arahan rasmi, takkan kita pandai-pandai hendak melakukannya juga? Aku beritahu Bos keadaan sebenar dan bagaimana kami hanya akan membuat liputan mengenai majlis persaraan, tidak untuk program sukan. Bos juga agak terkejut dan tidak berpuas hati dengan keadaan yang berlaku. Pujukan beliau mudah; buat juga liputan program sukan tapi setakat itu. Hanya liputan. Kalau diarah buat perkara lain atau diminta untuk ambil gambar program sukan oleh urus setia sukan dan orang lain, abaikan.

Betul, abaikan. Kerana gambar-gambar itulah juga nanti akan dimasukkan ke dalam buletin dan buku laporan dan kemudian kamu akan tersengih dari telinga ke telinga melihat kelibat kamu. Kamu pernah baca surat khabar tanpa ada sekeping gambar pun? Tentu bosan, bukan?

Kenapa aku ceritakan hal ini? Dulu, perkara sebegini tidak berlaku kerana pengurusan ketika itu amat teliti dalam membuat perancangan. Semua aspek difikirkan kerana bukti-bukti seperti gambar dan video ini juga boleh digunakan sebagai penilaian prestasi jabatan. Tapi pengurusan sekarang (aku tidak kata pengurusan tertinggi) tidak nampak atau mungkin nampak tetapi memilih untuk mengabaikannya.

Aku memilih untuk berkata begini; kalau orang tidak suruh, kita tidak buat. Bak kata kamu juga; Saya yang menurut perintah. Maka program sukan tiada perintah untuk dibuat liputan. Faham itu.

FaceBook Saiful Bukhari

Jangan jadi bodoh hantar cadangan suruh aku sertai dia sebagai rakan.

Kaki Yang Bengkak

Sebenarnya ia semakin pulih walaupun masih terasa sakit. Realitinya, pergelangan kaki aku bukan pertama kali cedera. Semasa zaman bersukan dulu, ianya sering cedera. Kemudian ditambah dengan berat badan aku yang melampau (obese tahap 1) dan kononnya boleh menggelecek bola seperti Lionel Messi, aku tergolek sendiri akibat badan tidak boleh diseimbang oleh pergelangan kaki.

Padan muka. Peringatan untuk diri sendiri; tunggu kurus dulu baru boleh gelecek seperti Messi.

Aku jalan terhincut-hincut sepanjang dua hari di pejabat. Orang bertanya dan memikirkan aku kemalangan. Aku jawab aku terseliuh semasa bermain futsal. Ramai antara mereka yang tersenyum sinis. Aku faham. Heh.

FaceBook Ahli Politik Lain

Ya, jangan jemput aku sertai ini juga. Aku bukan "penjilat" ahli-politik dan oportunis politik.

Memendam Rasa

Kamu panggil, aku datang, biar dalam keadaan apa sekalipun.

Kamu mohon pertolongan, aku berikan.

Kemudian kamu diam dan tidak memperdulikan aku.

Lama nanti, kamu akan cari aku kembali; bila sekali lagi kamu dalam kesusahan.

Aku tetap akan datang, biar dalam keadaan apa sekalipun.

Sigh. Harapnya, kamu faham.

Hari Ini, Esok Dan Seterusnya

Ini adalah post ke 954. Tinggal 46 post lagi untuk mencecah ke angka 1000. 1000 dalam masa enam tahun, boleh tahan. Tapi kalau hendak dikira betul-betul, post aku dalam bentuk blog sudah lama mencecah seribu. Aku sudah menulis post ala blog ini sejak September 2001; dalam website sendiri, di Diaryland dan juga uJournal (lebih kurang sama dengan LiveJournal). Ada yang masih boleh kamu tengok kalau rajin cari. Okay, aku beri satu, LIHAT SINI.


Sudah lama. Kadang-kadang rasa penat untuk terus menulis di sini. Kadang-kadang rasa tertekan dengan orang yang datang di sini dan meninggalkan kata-kata yang kurang selesa. Cuma yang terus menguatkan aku untuk menulis di sini adalah kerana minat. Minat untuk menulis. Bukan kerana kamu, tapi kerana diri sendiri.

Selama mana tempat ini akan bertahan?

Kamu boleh tanya kembali soalan itu 10 tahun dari sekarang.

:-)

InsyaAllah.

15.7.09

Cuba Faham (Maksudnya BERFIKIR)

Aku fikir ramai rakyat Malaysia tidak pandai membezakan apa itu kerajaan, apa itu parti politik. Ramai antara mereka yang fikir apabila sesuatu parti politik itu memerintah, parti politik itu adalah kerajaan. Which is WRONG.


Aku malas nak cut and paste apa maksud kerajaan. Kalau kamu rasa kamu rajin dan hendak menambah ilmu atau mungkin hendak berfikir secara terbuka, sila Google atau baca. Kemudian datang balik sini dan fikirkan apa yang aku cakap. Sebab aku bukan anti-kerajaan yang memerintah. Aku cuma tidak suka mana-mana parti politik yang memerintah menggunakan harta benda dan jentera kerajaan sebagai modal politik mereka.

Bonus, gaji dan elaun kakitangan awam adalah ditentukan oleh kerajaan yang memerintah, tidak kira siapa mereka dan ianya menggunakan duit rakyat, tidak kira apa sokongan politik rakyat tersebut. Kena ingat perkara tersebut. Kita tidak kutip cukai dari satu kumpulan penyokong parti politik tertentu saja. Kita kutip cukai dari semua orang. Jadi adalah salah kalau wang tersebut tidak disebar dengan cara adil. Adil di sini membawa maksud, semua orang tidak kira apa fahaman politik mereka menerima hak yang sama.

Mungkin orang akan berkata kepada aku, kalau tidak kerana parti politik yang memerintah sekarang, kita tidak akan perolehi apa yang kita perolehi. Benar. Itu aku tidak nafikan. Aku amat berbangga bekerja di Putrajaya yang gah dan cantik ini. Aku marah kalau parti lain berkata bila mereka menang, mereka akan jual Putrajaya. Itu kenyataan bodoh. Pembangunan tidak boleh dihalang.

Tapi pembangunan itu perlu dilaksanakan oleh sesiapa pun, tidak kira mana parti politik. Parti politik juga tidak boleh kata,

"Lihat, negeri yang kami perintah maju kerana ada pembangunan dan lain-lain"

semata-mata kerana mereka sentiasa mendapat bantuan yang besar dari kerajaan persekutuan yang sama parti dengan mereka. Sebaliknya menuduh parti lain yang memerintah negeri lain tidak berjaya kerana tiada pembangunan dan mundur. Mana logik kalau negeri tersebut langsung tidak diberi bantuan? Kalau ada, mungkin tidak sehebat negeri lain.

Pembangunan adalah perkara yang wajib dilakukan oleh kerajaan persekutuan tanpa mengira latar belakang politik sesuatu lokasi. Masalah di Malaysia, parti politik dianggap musuh, sama seperti kita anggap komunis sebagai musuh. Sepatutnya parti politik yang wujud perlu dianggap sebagai pelengkap demokrasi. Bila waktu pilihanraya, kita beri ruang untuk rakyat memilih wakil mereka. Selepas daripada itu, kita sebarkan kekayaan negara sama rata. Kerana ideanya pilihanraya itu adalah untuk memilih wakil kepada rakyat sesuatu kawasan. Ia membawa suara rakyat di situ kepada suatu majlis yang lebih besar untuk didengar dan diteliti. Bukan untuk dianggap musuh.

Tidak kira mana pun parti politik, sudah tiba masa mereka buang fahaman sebegini dalam ideologi mereka. Kalau tidak negara ini akan terus porak peranda dipermainkan oleh ahli politik yang secara sedar atau tidak, sepatutnya mewakili rakyat, bukan mewakili parti politik.

Parti yang memerintah tidak boleh menggunakan wang kerajaan (atau kita istilahkan dengan lebih jelas - janji-janji pembangunan seperti jambatan, jalanraya dan dewan orang ramai) semasa berkempen. Mereka juga tidak boleh guna segala jentera kerajaan seperti polis, SPR, JPN, Penerangan dan lain-lain untuk menggerakkan operasi mereka. Itu adalah salah dan amat-amat salah. Duit itu datang dari semua rakyat dan tidak sepatutnya digunakan untuk satu-satu parti politik, tidak kira mana satu.

Kerana kerajaan adalah pemerintah. Kerajaan bertanggungjawab kepada semua rakyat di bawahnya. Semua. Kamu tidak boleh mendiskriminasi sesiapa pun mengikut fahaman politik. Kakitangan kerajaan yang bekerja bukan bekerja untuk satu-satu parti politik sahaja. Mereka bekerja untuk semua orang. Sebab kalau kamu tidak fikir begitu, lebih baik penyokong parti politik pembangkang tidak perlu ada MyKad, ada surat beranak, ada paspot, ada lesen memandu dan mematuhi undang-undang kerana mereka bukan penyokong parti yang memerintah. Setuju?

Sejak bila penyokong parti politik pembangkang menjadi musuh negara/negeri hanya kerana fahaman politik mereka? Itu kita kena fikirkan.

Tapi aku yakin kamu tetap akan jumpa loop hole untuk mempersoal balik semua ini. Cuma aku minta kamu baca dan faham dulu apa maksud demokrasi dan kenapa demokrasi, wakil rakyat, parti politik dan kerajaan itu wujud. Selepas daripada itu, datang balik dan bicarakan hati kamu.

Sekali lagi aku ulang, aku bukan anti-kerajaan yang memerintah. Malah aku juga bukan anti parti politik yang memerintah. Aku cuma mahu lihat negara ini diperintah dengan bijak, telus dan adil. Dan kamu sebagai rakyat mereka juga perlu jadi lebih bijak dan terbuka untuk memahami keadaan sebenar. 

====

Aku perlu tambah. Sepatutnya parti politik yang dianggap pembangkang dalam satu-satu kerajaan bersifat mengkritik secara positif, bukan semua perkara perlu dikritik tanpa mengira implikasi. Kadang-kadang aku pelik, apa motif mereka jadi pembangkang? Untuk mencari salah atau sebagai check and balance? Atau untuk mahu dianggap musuh?

Personally, aku tidak suka stail Anwar Ibrahim dalam percaturan politiknya. Nampak kalut dan agresif; seperti terdesak. Tapi aku salut kebolehan pidatonya yang jauh dan amat jauh lebih hebat dari mana-mana ahli politik parti yang memerintah. Malah, aku bosan mendengar Najib berpidato. Seperti terlalu berskrip.

Parti politik pembangkang juga perlu menjadi entiti bijak yang boleh menjana pembangunan, bukan menyekatnya. Kalau setiap perkara kita tuduh tidak bagus, apa yang kerajaan boleh buat lagi? Beli kapal selam pun bising. Kamu kata rasuah. Tapi yang pentingnya, kita ada kapal selam. Negara kecil seperti Singapura pun ada kapal selam. Kerajaan bina Putrajaya dikata membazir. Eh, sekali sekala datang sini dan lihat apa Putrajaya sudah jadi. Ianya sekarang destinasi pelancongan yang semakin berkembang. Tapi aku faham apa yang kamu bangkitkan. Itu perkara lain.

Kemudian kamu menghina Tun Mahathir. Biarpun orang kata dia memerintah secara kuku besi, tapi dia tetap membawa pembangunan. Itu yang pasti. 

Lain kali aku cerita lagi. Pergi buat kerja!

14.7.09

Sekejap

Halmet

Semakin kerap aku temui penunggang motosikal yang tidak pandai mengikat tali topi keledar. Adakah manusia semakin bodoh atau tali topi keledar semakin sukar untuk diikat? Atau ramai penunggang motosikal tidak pernah jadi pengakap untuk belajar ikatan buku sila?

Apa pun, aku fikir topi keledar sekarang cuma perlu diselak kepada penyelak yang disediakan, tidak perlu lagi diselit keluar masuk lorong besi seperti topi keledar zaman batu dulu. Itu pun susah juga? Kalau mat rempit, aku faham. Mungkin bila kepala mereka pecah itu adalah satu kebanggaan.

Tapi ini aku tengok orang biasa, malah perempuan pun melakukan perkara yang sama. Inventors perlu fikir sekarang, bagaimana cara terbaik untuk memudahkan orang mengikat tali topi keledar tanpa perlu diikat oleh penunggang motosikal. Serkup saja topi di kepala, tali secara automatik diikat bawah dagu penunggang. Fikirkan cepat! Kamu akan pasti jadi jutawan!

Warganegara

Sebenarnya ini isu sensitif. Tapi memandangkan Najib sudah umumkan bahawa permohonan warganegara akan dipercepatkan, aku mahu beri pandangan peribadi.

Kenapa ya perlu dipercepatkan? Adakah negara ini negara imigran seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia? Kalau ya, sila keluarkan dasarnya dahulu. Kalau sebelum merdeka, ya, sudah pasti Malaya ketika itu adalah negara imigran. Namun selepas merdeka, kewarganegaraan telah diperketatkan dan bukan mudah untuk menjadi warganegara. Banyak proses dan ini mengambil masa yang lama. Bukan secara tidak sengaja, tapi disengajakan. Orang kerajaan kata, silence practice.

Ada tujuannya. Tapi secara logik akal pun kamu boleh fikir sendiri. Mungkin untuk menilai keikhlasan seseorang memohon menjadi warganegara. Dari sudut mana? Kalau dia sanggup tunggu masa yang lama dan penuh setia untuk jadi warganegara, itu kita nampak keikhlasan dia. Ya, contoh bodoh. Tapi kamu fikir sendiri. Kalau orang mahukan sesuatu, dia sanggup tunggu dan sanggup bersabar.

Mungkin untuk membuat penilaian terperinci dan mendalam terhadap individu yang memohon. Dalam jangkamasa dia di nilai, adakah perbuatan tidak elok dilakukan? Merompak, mencuri, khianat dan lain-lain. Mana ada masa kamu hendak nilai kalau proses penilaian kamu cuma setahun dua? Bukan kita tidak percaya, tapi seperti orang kata, kita perlu berwaspada. We never know.

Jadi, aku kurang setuju dengan tindakan mempercepatkan permohonan kewarganegaraan. Ianya tidak wajar dan mungkin boleh membahayakan negara. Lagi satu, secara peribadi dan apabila melihat dengan mata sendiri, aku rasa ramai antara pemohon yang sepatutnya tidak layak jadi warganegara.

Ada yang datang ke kaunter di pejabat ini menghentak meja hanya selepas dua minggu memohon jadi warganegara dengan diiring bersama seorang peguam (orang Malaysia!) bertanyakan status warganegara mereka. Biadap dan bongkak. Apa, ingat warganegara hak kamu? Warganegara itu adalah anugerah. A gift. Bukan hak yang boleh diminta-minta. Ingat sikit perkara itu. Lagipun ianya boleh ditarik balik. Boleh dilucutkan. Ingat itu juga.

Ya, aku kurang setuju dengan usaha mempercepatkan permohonan kewarganegaraan. Harap kamu faham kenapa. Tapi kalau permohonan itu sudah puluhan tahun, itu cerita lain.

Janji Pilihanraya

Masalah yang mungkin pencatur politik BN hadapi adalah mereka tidak peka dengan akses yang rakyat ada terhadap informasi dan juga tahap pendidikan rakyat. Mereka seperti masih tinggal dalam kepompong dan fikir dunia di luar masih biru dan indah.

Mereka sepatutnya sudah lama berhenti menggunakan jentera kerajaan sebagai alat propaganda dan gula-gula semasa berkempen. Itu jalan terbodoh yang boleh mereka lakukan dan orang secara terang-terangan melihat itu salah satu penyalahgunaan kuasa jentera kerajaan. 

Berhenti dan fikir balik jalan yang lebih sesuai untuk melihat survival politik BN boleh berterusan. Tapi kalau masih mahu bermain dengan "alat-alat mainan" lapuk ini, bersedialah untuk menerima bencana yang makin menggunung.

Akhbar juga tidak harus jadi bodoh menulis apa saja yang difikirkan bagus untuk menyokong BN. Kadang-kadang ianya nampak lebih buruk dari yang sepatutnya.

Ini pandangan peribadi. Seperti yang kamu tahu, aku naif dalam politik. Dan pengawai kerajaan, stop being a pawn! atau pembodek! You should hold the integrity of the government.

Kelantan

Khamis malam Jumaat nanti aku akan bergerak ke Kota Bharu, Kelantan. Ada program di sana hingga Ahad.

Kalau boleh, aku tidak mahu pergi. 

Aku tidak mahu terlibat.

Aku tidak berminat untuk melibatkan diri.

Aku ada sebab. Tidak perlu aku jelaskan lagi.

Tapi arahan daripada Bos; pergi.

Kenalah pergi.

Sigh.

Fotografi Itu Adalah Dadah Bagi Aku Untuk Mengabaikan Kamu

Dengan kereta kancil, aku menuju ke penghujung senja di tepi tasik Putrajaya. Idea asal untuk merakam matahari senja. Namun dek kerana jerebu masih ternampak, suasana agak kabur dan kurang bercahaya. Lalu aku rakam perkara lain, termasuk kereta kancil aku.






Sang rama-rama sedang menghisap madu, atau mencari sarang untuk berteduh. Cuma suasana agak malap jadi gambar juga agak kabur.




Gambar atas aku sudah edit sepenuhnya. Seekor burung bangau sedang bergegas pulang dari jauh menuju ke sarangnya yang mungkin di taman Wetland Putrajaya berhampiran. Menarik.




Lalang. Aku begitu inginkan merakam lalang yang sedang ditiup angin. Hari ini dapat, walaupun tidak sebanyak mana.





Bunga kecil kalau diperhatikan dengan teliti, nampak cukup cantik.

Seharian di pejabat begitu menekan hati. Aku sebolehnya mahu berdiam diri dan melangsaikan kerja yang ada. Aku tidak mahu terlibat dan aku tidak mahu masuk campur. Sebab aku kecewa melihat apa yang sedang berlaku. Kamu staf JPN yang selalu membaca di sini, ketahui ini. Aku bukan orang Bos Besar atau sesiapa. Ada masanya aku tidak langsung difikirkan untuk apa-apa program. Biasalah. Ada ramai yang sedang berebut untuk mencari nama, membodek dan menonjol diri. Jadi biarkan mereka buat begitu. Aku tidak minat dan tidak pernah minat.

Sebab itu bila Bos di pejabat suruh aku masuk pertandingan mereka cipta logo (kamu sendiri tahu), aku menolaknya. Biar orang lain yang masuk dan biar orang lain yang menang. Sebab kalau ditakdirkan aku menang nanti, mulut sana sini akan berkata di belakang.

"Bolehlah menang, orang Bos..."

"Memanglah menang, baik dengan Bos..."

Sebenarnya, aku tidak peduli apa kamu mahu cakap. Aku lebih senang biarkan saja. Ada banyak hal lain yang aku boleh buat. Berbual dengan perempuan cantik yang kamu selalu nampak di kafe itu contohnya. Walaupun dia bukan istimewa, sekadar kawan. Tapi mata kamu cukup besar memandang, bukan? Aku peduli apa.

Agaknya... erm. Tidak mengapalah. Pointless sebenarnya. Masih akan tetap sama. Kamu perlu tahu the frustation of just trying to be normal. Kalau kamu hendak ambil alih, silakan. Aku lebih dari rela hendak berikan.

Aku ada passion aku sendiri dalam hidup daripada melayan kerja pejabat dan bersengkang mata hingga jam dua tiga pagi menyiapkannya. Harap kamu juga boleh buat begitu, dan lebih lagi.

Aku mahu berehat. Aku sudah penat. Aku sudah bosan.

  © frossonice v2.0 by frossonice 2009

Kembali ke ATAS